• Antibiotik atau anti kulat — Apabila ada jangkitan pada bahagian kemaluan. Banyak kajian menunjukkan pemberian ubat antibiotik atau anti kulat melalui vagina lebih berkesan dengan kadar penyembuhan lebih cepat
  • Rawatan masalah kesuburan
  • Rawatan untuk keguguran atau bersalin tidak cukup bulan
  • Terapi hormon untuk wanita menopaus
  • Rawatan untuk pencegahan kehamilan
  • Rawatan untuk masalah prolaps (rahim jatuh dan terkeluar dari vagina) Rawatan untuk semua yang disenarai di atas ada pelbagai bentuk seperti cecair, tablet, krim, balsam, gel, cincin (untuk masalah proplaps supaya rahim dapat ‘ditolak ke atas balik), cincin berhormon, alat dalam rahim (untuk pencegahan kehamilan) atau tampon berubat.

  • Apa kelebihan ubat yang diberi melalui vagina berbanding ubat makan? Ubat makan perlu melalui banyak peringkat kerana akan masuk ke dalam perut dan sistem pencernaan (usus kecil) terlebih dulu. Dari sini, ubat berkenaan diserap masuk ke dalam aliran darah dan dibawa ke hati untuk ditapis dan diuraikan sebelum sampai ke tempat atau organ sasaran. Jadi dos ubat makan biasanya lebih tinggi supaya dos yang sampai ke organ sasaran adalah tinggi.

    Apabila ubat perlu melalui saluran pencernaan, ia boleh memberi kesan sampingan seperti rasa mual, perut tidak selesa atau muntah. Masalah ini tidak berlaku pada ubat yang terus diberi pada vagina kerana tidak perlu melalui hati (boleh mengelak masalah hati — sangat baik untuk pesakit Hepatitis B) dan pada masa sama mengurangkan gejala embolisme (pergerakan ketulan darah beku, lemak atau gelembung udara dalam darah dari satu organ ke organ lain) yang dialami sesetengah wanita yang mengambil ubat hormon secara oral. Bagaimanapun keadaan ini jarang berlaku.

    “Permukaan dalaman vagina yang berlipat dan berkedut bertujuan menambah luas permukaan yang akan meningkatkan penyerapan ubat. Justeru, ubat boleh diberi dalam dos rendah dan ini secara tidak langsung mengurangkan kesan sampingan ubat.
    “Biasanya ubat diberi melalui vagina adalah untuk jangka panjang kerana kebanyakannya direka untuk mengeluarkan dos rendah secara perlahan-lahan. Jadi kekerapan untuk mengambil ubat boleh dikurangkan dan kadar kepatuhan kepada pengambilan ubat jauh lebih baik berbanding ubat makan.

    “Walaupun kaedah pemberian ubat melalui vagina banyak manfaatnya, ia kurang popular kerana ramai wanita tidak faham atau kurang selesa dengan cara ini. Namun, kini banyak jenis rawatan boleh dilakukan sendiri di rumah tetapi yang paling penting, ia selamat dan berkesan,” katanya.

    Oleh itu wanita perlu sentiasa menjaga kesihatan vagina dengan:

  • Amalkan pemakanan seimbang dan sihat; kerap bersenam iaitu sekurang-kurangnya 30 minit sehari, tiga hingga empat kali seminggu
  • Pastikan kawasan kemaluan sentiasa bersih iaitu pada bahagian luar saja. Vagina adalah organ yang mempunyai sistem pembersihan sendiri. Jadi anda tidak perlu ‘menjolok’ jari ke dalam atau menggosok saluran ini dengan sabun untuk membersihkannya.
  • Tindakan ini hanya mengganggu persekitaran semula jadi kerana dalam vagina ada bakteria baik iaitu bakteria laktobasilus yang menghasilkan asid laktik yang bertindak sebagai benteng pertahanan terhadap jangkitan.
    Mencuci vagina sama ada dengan sabun atau memancutkan air ke dalam saluran ini menyingkir bakteria laktobasilus dan akibatnya anda lebih mudah mendapat jangkitan.
  • Pakai seluar dalam dibuat daripada kain kapas untuk pengudaraan baik dan mengurangkan kelembapan. Bagi wanita yang menggunakan tampon, sila buat catatan bila anda memasukkan dan mengeluarkannya. Ini penting kerana ada wanita terlupa mengeluarkan tampon. Tampon ini bagaimanapun tidak hilang atau masuk ke dalam rahim kerana vagina adalah sistem tertutup (bukaan ke rahim sangat halus) cuma ia boleh menyebabkan jangkitan dan Sindrom Kejutan Toksik yang mungkin membawa maut.
  • Jangan guna penyembur atau sabun wangi bagi membersihkan vagina kerana saluran ini sensitif. Air sudah memadai.
  • Jalani pemeriksaan kesihatan dengan pakar sakit puan secara berkala.
  • Elak memakai seluar denim yang terlalu ketat kerana anggota istimewa ini perlukan pengudaraan baik, terutama apabila anda mengalami jangkitan.