Saturday, August 14, 2010

Hamil luar nikah

Saling tuding jari tidak selesaikan masalah

TOPIK remaja hamil luar nikah sudah menjadi perbincangan serius kalangan pelbagai pihak. Rentetan gejala itu memberi implikasi yang panjang dan sekiranya dibiarkan berlarutan ia akan terus menyumbang kepada peningkatan kes sosial lain khususnya pembuangan bayi.

Kes pelajar mengandung dan bersalin anak luar nikah, umpamanya dikesan Kementerian Pelajaran sebanyak 21 orang sejak 2006 hingga sekarang iaitu 12 berlaku di sekolah luar bandar manakala sembilan di kawasan bandar.
Jika dilihat secara menyeluruh laporan daripada agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ia pastinya akan menakutkan kita.
Hakikatnya, isu remaja melakukan seks pada awal usia perlu ditangani segera supaya tidak menjadi semakin parah. Seks dan kehamilan sewajarnya dilihat dari pelbagai sudut berbeza yang perlu dilihat secara menyeluruh termasuk dari aspek seksual, agama, kemanusiaan, undang-undang dan kehidupan.

Kita tidak boleh menuding jari saling salah- menyalahi punca permasalahan ini, sebaliknya pendidikan, sokongan dan bimbingan perlu diterapkan kepada remaja ini sejak daripada peringkat awal lagi supaya mereka lebih memahami implikasi akan dihadapi sekiranya mereka terbabit dalam gejala seks bebas.

Apa yang nyata, kehamilan ketika remaja akan memberikan kesan jangka pendek dan panjang tidak saja kepadanya, bayi, keluarga dan masyarakat. Implikasi dari segi psikologi, lazimnya untuk kehamilan tidak dirancang atau diingini ia boleh dianggap sebagai satu krisis.

Ketua Jabatan Perubatan Rawatan Utama, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Sajaratulnisah Othman, ketika mengulas mengenai perkara itu menjelaskan remaja hamil yang tidak dirancangnya selalunya akan tertekan dan takut menghadapi situasi.
Katanya, remaja berkenaan takut tidak mendapat sokongan daripada pelbagai pihak khususnya ibu bapa dan masyarakat sehingga mendorong melakukan perkara tidak diingini.

Remaja ini mungkin akan pergi ke pasangannya yang juga berusia muda dan sama-sama tidak mengetahui apa yang perlu dilakukan. Jika ini berlaku remaja yang masih belum matang boleh melakukan apa saja perkara yang berbahaya pada diri, nyawa dan kandungannya, katanya.

Tidak mustahil, ada remaja yang bertindak menggugurkan kandungan untuk menyelesaikan masalah atau bagi mereka yang takut menggugurkan kandungan akan membiarkan sehingga pada saat kelahiran bayi tanpa pengetahuan ibu bapa dan orang di sekelilingnya.

Dr Sajaratulnisah berkata, dari aspek fizikal, kehamilan pada usia muda memberikan banyak implikasi kepada mental dan fizikal remaja, selain berisiko mendapat darah tinggi dan sawan.

Kajian juga menunjukkan, bayi dikandung akan mempunyai berat badan yang rendah dan berhadapan dengan kompilasi lain ketika dilahirkan.

Bagi remaja hamil yang tidak cukup darah merah, mereka juga akan berhadapan dengan keadaan kritikal yang boleh membahayakan nyawanya.

Dari aspek lain, kehamilan anak luar nikah ini memberikan cabaran kepada remaja kerana lazimnya ibu bapa dan keluarga akan merasa malu dan maruah mereka tercalar akibat perbuatan tidak bermoral.

Ketiadaan sokongan daripada keluarga ini memburukkan lagi keadaan menjadikan golongan itu tersisih dan akhirnya mendorong mereka bertindak membuang bayi dilahirkan di mana saja sebagai penyelesaian masalah.

Sementara itu, menerusi temuramah dilakukan Dr Sajaratulnisah berkata, ada remaja juga yang terkilan apabila ketika sedang sarat mengandung ada pihak tertentu di sekeliling berbincang secara terbuka terhadap hak penjagaan anak berkenaan.

Dalam keadaan itu, menjadikan golongan remaja ini kecewa kerana menganggap bayi itu sebagai komoditi untuk kepentingan sendiri seakan tidak ada nilai keperimanusiaan.

Mungkin juga ada kalangan remaja berkenaan yang cuba untuk menjaga bayi dilahirkan, bagaimanapun disebabkan tiada sokongan kewangan mereka tidak berdaya berbuat apa-apa

Pakar Psikologi Kanak-kanak dan Remaja, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Khaidzir Ismail, kesan terjebak dalam masalah tidak bermoral yang terlalu awal seperti terbabit dengan seks bebas pada usia muda akan memberikan kesan berpanjangan dari aspek psikologi remaja.

Katanya, masalah paling ketara adalah remaja ini akan terjejas dari segi pendidikan mereka kerana tiada minat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan sekali gus kerjaya turut terjejas.

Selain itu, remaja ini juga akan lari daripada rumah atau ada juga yang dibuang keluarga untuk mengelak malu. Akibat keterlanjuran itu mereka menjadikan mudah terbabit dengan masalah sosial lain seperti pelacuran, dan menyebabkan masa depan mereka terus gelap.

Sebenarnya lebih banyak kesan negatif yang akan dilalui remaja itu berbanding yang positif, katanya

Kesan paling hebat dirasai remaja ialah dari segi emosi dan stigma mereka yang sudah jatuh harga diri serta hilang kepercayaan daripada keadaan persekitaran.

Katanya, usaha untuk pemulihan dari segi emosi itu agak sukar akibat kurang sokongan daripada pelbagai pihak.

Berdasarkan kajian remaja ini akan lebih terpengaruh dengan rakan sebaya iaitu kira-kira 27 peratus berbanding hanya tujuh peratus daripada ibu bapa. Remaja selalunya tidak berfikiran matang dan mudah saja mengikut arus persekitaran mereka. Kajian menunjukkan usia 24 tahun dianggap tempoh yang paling matang dalam membuat sebarang keputusan dan pertimbangan.

Ini bermakna, jika remaja mempunyai rakan sebaya yang baik maka 27 peratus kebaikan diperoleh manakala yang negatif sejumlah itu juga akan diterima mereka. Ibu bapa selalunya akan memberikan nasihat untuk memastikan anak mereka berada pada tahap yang terbaik, bagaimanapun, hanya tujuh peratus saja yang akan diikuti anak, katanya.

*berita harian

*poison_ivy: ssh jdi remaja skrg ni. sume nye berebut2 nk jadi dewasa. tp bile pape berlaku, cntohnye cm kes mengandung, sume mule panik. Nak kte x de blaja bende2 ni sume, rse nye korang lg advanced dari zmn aku kot. Tapi, tuh la..korng di dedah kan pada usia awl. dan korang x dapat menilai pe yang baik dan buruk utk diri korang. aku tau, dan aku faham. aku perna mude cm korang. aku tau pe desire korang. tp kene fikir la dl..sblom korang wat pape. fkr sme de die byk bg implikasi buruk @ baek. bak kate celcom, "segala2 nye di tangan anda".
"renung2 kn, dan selamat beramal"

No comments:

Post a Comment